Cara fikir guru, sistem penilaian jadi penentu
Oleh: WAHID HASHIM
(Yang menghadiri Persidangan Serantau Guru Inovatif 2005 Kali Ke-2 di Seoul, Korea Selatan baru-baru ini).
(Bahagian Akhir)
Seorang guru bahasa Inggeris,
Nor'Aini Mohamad Seleh dari Sekolah Menengah Dato' Hj Kamaruddin, Kuala Kubu Bharu, Selangor banyak bergantung kepada kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) ketika mengajar Bahasa Inggeris untuk Sains dan Teknologi (EST) serta ketika melaksanakan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).
Beliau juga kerap menggunakan bahan EST daripada Pendidikan Bestari Utusan Malaysia sebagai bahan mengajar.
Sia Lay Boey, guru di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Taman Connaught, Cheras di Kuala Lumpur menggunakan kemudahan yang disediakan oleh Microsoft, serta perisian yang disediakan oleh Kementerian Pelajaran serta perisian kursus yang disediakan oleh pembangun perisian kursus untuk sekolah Cina oleh sebuah syarikat swasta tempatan yang dikenali sebagai CSSM Sdn. Bhd.

Menurut Lay Boey, seperti rakan gurunya yang lain, dia juga membuat persiapan mengajar dengan menyediakan bahan yang secukupnya sebagai syarat pengintegrasian antara ICT dan bahan mengajar.
Semasa persembahannya di Seoul, fokus Lay Boey adalah pada topik Menanam Sayur-Sayuran untuk murid tahun lima, mata pelajaran Bahasa Cina.
``Sebagai persiapan aplikasi ICT di bilik darjah, saya akan memastikan adanya capaian Internet, kamera digital, pengimbas dan aplikasi Microsoft Office iaitu Words, Excel dan Powerpoint,'' katanya.
Namun begitu, pelajar masih perlu melakukan aktiviti konvensional iaitu membuat pemerhatian di pasar basah, pasar malam, kebun sayur-sayuran, dan kemudiannya membentangkannya ciri-ciri setiap sayuran seperti kandungan nutrisinya, namanya, warnanya dan kepelbagaian rasanya ketika di dalam kelas, kata Lay Boey.
Menerusi pengajaran berbantukan ICT, beliau berkata, secara tidak langsung guru dan pelajar telah belajar membina carta, melakukan persembahan multimedia, menyiapkan lembaran kerja, menyisipkan data dan sebagainya.
Guru mata pelajaran Biologi tingkatan empat SMK Chung Cheng Sungai Ma'aw di Sibu, Sarawak, Ho Chai Seong baru setahun dua bulan menjadi guru, tetapi telah berjaya mengintegrasikan pengertian mitosis dengan aplikasi ICT.
``Sebanyak 70 peratus pelajar di kelas saya tahu menggunakan komputer dan 40 peratus tahu melayari laman web,'' ujarnya.
Guru ini membangunkan perisian kursusnya sendiri untuk pengajaran secara simulasi dan animasi.
``Bukan itu sahaja, saya menilai kefahaman pelajar dalam sesi soal jawab dengan menggunakan Powerpoint dan Excel,'' katanya.
Guru mata pelajaran Sains tingkatan dua SMK Pasir Panjang, Negeri Sembilan, Kang Seow Hung banyak menggunakan enjin carian Yahoo! untuk mengumpul data dan imej, klip video tentang topik biasan dan pantulan.
``Saya juga mengimport nota dan imej daripada perisian kursus yang dibekalkan oleh Kementerian Pelajaran,'' kata Seow Hung.
Pada Julai 2004, Pengerusi dan Ketua Arkitek Perisian Microsoft Corporation (Microsoft), William (Bill) H. Gates melawat Sekolah Alam Shah di Putrajaya.
Di sana, beliau menandatangani memorandum persefahaman dengan Kementerian Pelajaran untuk membangunkan program latihan dan literasi teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam kalangan guru.
Berakarumbikan kepada komitmen itu, Kementerian Pelajaran seterusnya melancarkan program Microsoft Sebagai Rakan Pembelajaran, yang meliputi meja bantuan, bimbingan rakan sebaya serta membuka peluang kepada guru tempatan menghadiri persidangan inovasi.
Kesemua program ini menjadi pemangkin kepada projek pembestarian sekolah harian seluruh negara, sebagai pengganti kepada program membangunkan sekolah bestari baru.
Kerajaan kini mengamalkan dasar dan prinsip untuk tidak lagi membangunkan sekolah atas nama Sekolah Bestari.
Antara `projek besar' Kementerian Pelajaran di bawah komitmen berkenaan ialah program latihan kepada 100,000 guru. Program latihan itu diserahkan kepada
Prestariang Technology Sdn. Bhd. yang beribu pejabat di Cyberjaya.
Menurut Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Sekolah Kementerian Pelajaran, Datuk Kusaini Hasbullah, menjelang Disember ini, sebanyak 40,000 guru dijangka telah mengikuti program itu.
``Idea asal program ini adalah untuk melatih guru sehingga mereka mampu mengintegrasikan ICT dengan tugasan mengajar seharian,'' katanya kepada Utusan Malaysia di Seoul, baru-baru ini.
Langkah itu, sangat berkait rapat dengan proses pembestarian seberapa banyak sekolah harian.
``Kita bercakap tentang proses, bukan lagi branding (jenama),'' katanya, merujuk kepada program Sekolah Bestari sebelum ini.
Setelah tiga bulan mengikuti program itu, guru-guru itu diharap akan menurunkan ilmu pengetahuan mereka kepada pelajar dan guru di sekolahnya, tegas Kusaini.
``Saya bangga kerana kemampuan guru-guru kita di Seoul ini setanding dengan guru-guru di negara lain,'' kata Kusaini mengulas hasil pemantauannya ke atas enam guru yang mewakili Malaysia pada Persidangan Serantau Guru Inovatif 2005 Kali Ke-2 di Seoul.
Beliau mengakui bahawa projek Sekolah Bestari sebelum ini mengalami sedikit masalah tetapi tidak menganggapnya sebagai projek yang gagal. ``Ia bukan lagi Sekolah Bestari,'' katanya.
Hal ini, tegas beliau, kerana beberapa perkakasan dan teknologi yang diterapkan di Sekolah Bestari itu telah usang. ``Misalnya Windows NT sudah tidak sesuai dan sekarang ramai yang menggunakan sumber terbuka,'' katanya.
Beliau juga memberitahu, Sekolah Bestari sedia ada kini diletakkan di bawah Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP).
Ditanya apakah peranan yang boleh dimainkan oleh pihak yang bersama-sama kerajaan sebelum ini membangunkan Sekolah Bestari seperti TM Smart School (TSS), Kusaini memberitahu:
``Dalam pelan pelancaran kebangsaan (national roll-out) bagi projek pembestarian sekolah, TSS bukan lagi menjadi pemain utama, tetapi tetap akan ada peranannya.''
Sementara itu, Pengurus Program Akademik Microsoft (Malaysia) Sdn. Bhd., Farad Alhusaini berkata, pihaknya bersedia untuk bekerjasama dengan TSS, serta vendor lain seperti pembangun perisian kursus yang ada di Malaysia, untuk membangunkan sistem pendidikan yang lebih baik di Malaysia.
``Sudah tentulah kita tidak mahu ada monopoli oleh mana-mana syarikat dan akhirnya menjadi seperti koboi dalam sistem persekolahan,'' katanya.
Bagi beliau, kejayaan kepada pelaksanaan program di sekolah ditentukan oleh dua faktor iaitu cara berfikir guru dan sistem penilaian.
``Penentuan dasar yang kukuh oleh kerajaan juga penting,'' katanya yang juga berada di Seoul.
Sumber: Utusan Malaysia 18 November 2005